Friday, March 6, 2009
Pesanan Sepanjang Zaman
KHUTBAH Hujjatul Wada adalah khutbah terakhir Rasulullah SAW.
Baginda menyampaikan khutbah itu pada upacara kemuncak ibadat haji iaitu ketika melakukan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, 10 Hijrah.
Seumur hidup, Rasulullah SAW hanya melakukan ibadat haji sekali.
Ketika itu, berpuluh ribu rombongan haji dari negara seperti Iraq dan Kuwait turut hadir melaksanakan haji bersama Baginda.
Khutbah Hujjatul Wada penting kerana di dalamnya terkandung mesej yang perlu difahami, diingati dan diikuti umat Islam walaupun selepas Rasulullah SAW wafat.
Jika diamati, hampir semua mesej disampaikan Baginda menyentuh hubungan sesama manusia.
Baginda SAW ketika itu sudah mengetahui umurnya tidak panjang dan perlu mengingatkan umat Islam kesimpulan bagi apa yang disampai dan diajarkan kepada ummah sepanjang hidup Baginda.
Antara mesej Rasulullah SAW ialah hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia.
Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu.
Dalam khutbah itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. la mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijjah).”
Rasulullah SAW turut menyebut mengenai penjagaan harta. Ini adalah mesej kedua terkandung dalam khutbah yang turut menekankan kesucian harta milik seseorang sepatutnya tidak diganggu atau diambil individu lain tanpa persetujuan pemiliknya.
Baginda menambah:
“Semua amalan riba dihapuskan. Namun kamu berhak memiliki modal kamu tanpa kamu menzalimi atau dizalimi. Allah menetapkan tiada riba (lagi diamalkan).”
Di sini dapat kita lihat amalan riba ditolak sama sekali dalam Islam kerana menindas peminjam dengan mengenakan bayaran kembali dalam jumlah melebihi modal dipinjamkan. Ini menzalimi si peminjam yang kemungkinan besar masih kesempitan wang.
Sistem perbankan dunia kini yang berlandaskan riba juga menyebabkan krisis ekonomi yang menekan negara miskin terutama Negara Dunia Ketiga. Oleh itu, sesiapa yang mengamalkan riba ibarat memerangi Allah yang dosanya adalah besar di sisi Allah.
Dalam khutbah Hujjatul Wada, Rasulullah SAW juga menyebut hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.”
Wanita berhak ke atas suaminya untuk menerima nafkah zahir dan batin termasuk tempat berlindung, pakaian dan hubungan intim suami isteri.
Wanita juga tidak boleh dijadikan hamba dan ditindas dalam institusi kemasyarakatan.
Baginda SAW menyambung lagi:
“Jika mereka melakukannya (kejahatan atau kemungkaran), Allah membenarkan kamu untuk meninggalkan tidur dengan mereka dan memukul mereka dengan pukulan tidak keras. Jika mereka berhenti daripada perbuatan ini, mereka berhak mendapat rezeki dan pakaian yang baik. Terimalah pesanan aku untuk berbuat baik dengan wanita ini. Mereka adalah pembantu kamu. Mereka tidak memperoleh apa-apa bagi diri mereka. Kamu mengambil mereka sebagai amanah Allah serta menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.”
Seterusnya Baginda SAW berpesan supaya berpegang kepada dua sumber utama Islam iaitu kitab al-Quran dan sunnah kerana tidak akan menyesatkan dan tidak hilang sehingga kiamat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud;
“Fahamilah sabdaku ini, wahai manusia! Sesungguhnya aku sudah menyampaikan. Aku tinggalkan kepada kamu satu perkara yang jelas, jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, (yakni) kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”
Akhirnya Rasulullah SAW berpesan semua umat Islam itu bersaudara dan mesti saling mengingati dengan melakukan dakwah, seruan penting bagi sentiasa mengingatkan umat Islam supaya kekal di jalan lurus dan tidak terpengaruh dengan amalan hidup kekafiran.
Baginda SAW bersabda pada hujung pesanan dalam khutbah itu yang bermaksud:
“Wahai manusia! Dengar dan fahamilah sabdaku. Kamu tahu bahawa setiap orang Islam saudara (bertanggungjawab) kepada orang Islam yang lain. Sesungguhnya orang Islam bersaudara.”
Pada akhir katanya, Baginda SAW bertanya kepada jemaah haji yang mendengar khutbah itu sama ada Baginda sudah menyampaikan apa yang patut disampaikan sebagai Rasul kepada umatnya.
Semua hadirin mengiyakan Baginda SAW sudah melunaskan tanggungjawabnya.
Baginda SAW menunjuk ke langit seraya meminta Allah menyaksikan peristiwa itu.
Tiga kali Baginda bertanya begitu dan mendapat jawapan yang sama daripada jemaah serta bersaksi dengan menunjukkan jarinya ke langit.
Tamatnya khutbah Hujjatul Wada itu, Saidina Abu Bakar r.a menitiskan air mata kerana beliau memahami kesimpulan khutbah itu... Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya dan terpulang kepada kita sebagai pengikutnya untuk mengingati pesanan itu tanpa Baginda SAW yang dikasihi berada di sisi.
SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment