Monday, March 9, 2009
Model Terbaik Insan Cemerlang
Sejauh mana pencapaian seseorang itu untuk dikatakan sebagai cemerlang?
Apakah kriteria digunapakai bagi mengukur tahap kecemerlangan?
Perlukah ada perancangan strategi sebagai pelan tindakan yang praktikal dan jelas?
Perkara paling utama adalah penentuan matlamat yang tepat dan jelas. Allah SWT menggariskan dasar kepada matlamat kehidupan insan seperti firmanNya bermaksud: Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar. (al-Maidah : 119)
Ayat ini menyatakan kejayaan besar ialah mendapat keredaan Allah SWT dalam tempoh jangka masa panjang yang bersifat kekal dan abadi selamanya.
Segala perbuatan insan sewajarnya dilakukan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah SWT dan bukan untuk mencapai matlamat lain kerana semua matlamat sampingan atau jangka pendek berpunca daripada keredaan Allah SWT terhadap makhlukNya.
Bagi membolehkan umatNYA mencapai kecemerlangan, Allah SWT mengutus model insan cemerlang yang tiada tandingan sehingga Hari Kiamat, iaitu, Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah SWT bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab : 21)
Allah SWT mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai contoh terbaik bagi insan yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT dan balasan baik di akhirat. (dalam ayat contoh bererti model dan ikutan untuk diteladani).
Berdasarkan ayat ini, keredaan Allah SWT sesuatu menjadi harapan bagi setiap insan yang menginsafi kedudukannya sebagai makhluk yang tidak memberikan kesan terhadap apa-apa melainkan dengan izinNya.
Kewujudan insan cemerlang pada zaman Rasulullah SAW terdiri daripada para sahabat. Hal sebegini dianjurkan dan diperjuangkan Rasulullah SAW sejak dulu, dan kini diwarisi pula oleh para ulama.
Nilai yang digunakan untuk mengukur kecemerlangan insan ialah KETINGGIAN AKHLAK. Kecemerlangan insan tidak diukur secara fizikal atau materialistik.
Malahan tugas utama Nabi Muhammad SAW ialah menyempurnakan akhlak seperti dinyatakan Baginda SAW dalam sabda yang bermaksud: Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak kamu. (Hadis riwayat Muslim)
Allah SAWT juga membuat penegasan dengan firmanNya yang bermaksud:
Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia.
(al-Qalam : 4)
AKHLAK dalam Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk nilai moral, etika dan adab. Setiap Muslim ditegaskan supaya menghayati nilai kerana insan cemerlang ialah yang paling baik akhlaknya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang terpilih antara kamu ialah orang-orang yang mulia akhlaknya. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW juga menegaskan tunjang kewujudan ummah terbilang adalah berasaskan penerapan nilai akhlak. Sabda Baginda SAW : Sesungguhnya Allah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini? (Hadis riwayat al-Tabrani)
Matlamat agung kewujudan manusia ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT sebagai satu kurniaan nikmat abadi.
Ukuran pencapaian insan dalam mencapai matlamat itu ialah tahap ketinggian akhlak seperti dipamerkan Rasulullah SAW.
Untuk mencapai tahap akhlak yang tinggi, kita perlu kembali kepada ajaran Islam dengan menegakkan nilai Islam dalam kehidupan.
Wassalam...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment