Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya
dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan
konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap
hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi
punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
- Menyempatkan diri beribadah. Allah
tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam
hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku
akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak
melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku
tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan
al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
- Memperbanyak istighfar. Istighfar
adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang
menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia
berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan
segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya
rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud,
an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
- Tinggalkan perbuatan
dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa
bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi
s.a.w.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa
yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
- Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini
rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu)
orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati
Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Ar-Ra’d: 28)
- Berbakti dan mendoakan ibu bapa. Dalam
hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang
ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada
ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga
bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya
dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,
al-Asybahani dan al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab
mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu
meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki
(Allah) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
- Berbuat baik dan menolong orang
yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan
meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga
isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu
diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah
di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
- Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk
tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang
menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”
(Riwayat Muslim)
- Banyak berselawat
Ada hadis yang
menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana
selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran
serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.
Wallahu a’lam.
- Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada
hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang
lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan
hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
- Berpagi-pagi. Menurut
Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik
selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
- Menjalin silaturrahim. Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa
ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia
menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
- Melazimi kekal berwuduk. Seorang Arab desa menemui Rasulullah
s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu
dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah
berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan
rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
- Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu
rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair,
ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim
oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka
siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah
membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah
menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
- Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan
bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab
seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan
Allah.
- Melazimi solat Dhuha. Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu
orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai
rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam,
jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu
permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu
pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
- Bersyukur
kepada Allah. Syukur ertinya mengakui segala
pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat.
Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya
Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur,
sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “…
dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali
Imran: 145)
- Mengamalkan zikir dan bacaan
ayat Quran tertentu
Zikir
dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,
menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca
secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh
menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat
menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya
dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah,
bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan
keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.” Ada
juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam,
dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
- Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan
mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam
al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan
perkenankan.
- Berikhtiar
sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini
sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia
kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama
hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad,
Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh
membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak
tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak
anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang
baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi
baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
- Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan
(keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan
sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi
rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat
Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin
al-Khattab r.a.)
Kesemua
yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan
takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan),
dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq:
2-3)
Pendek
kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya,
kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab
jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan
rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Wallahua'lam
Koleksi
ANIS
|
No comments:
Post a Comment