Sunday, April 12, 2009

Mendidik Diri Menghargai Masa



Seorang insan itu tidak akan berjaya memanfaatkan masanya sebaik mungkin tanpa mujahadah kerana berdepan dengan dua musuh utama (dalaman dan luaran) yang sentiasa meruntunnya untuk leka dan lalai di dunia dan mensia-siakan waktunya.

Dua musuh itu ialah : Hawa nafsu dan Syaitan

Hawa nafsu adalah musuh yang paling mencabar bagi manusia kerana ia berada di dalam dirinya.
Hawa nafsu adalah teman setia manusia yang sentiasa mendampinginya ke mana sahaja ia pergi. Namun hawa nafsu yang bakal menghancurkan manusia jika tidak menghadapinya dengan mujahadah.

Beberapa tabiat buruk yang menjadi punca kegagalan menggunakan masa dengan sebaiknya :

Tidak mengetahui atau tidak menyedari; apa matlamat kehidupan kita di atas muka dunia ini? Kenapakah Allah menjadikan kita di atas muka dunia ini?

Sikap malas, sambil lewa, sukakan kerehatan, leka, lalai, membuang waktu dan sebagainya.

Tidak mengetahui keutamaan dalam hidup; mana perkara yang penting yang perlu diberi perhatian? dan mana pula perkara yang tidak penting yang perlu diketepikan?


Tabiat suka bertangguh

Bermujahadah bermaksud melatih diri dengan sifat-sifat yang baik dan mengekangnya dari menurut hawa nafsu. Orang yang bermujahadah tidak akan membiarkan dirinya dikawal hawa nafsunya. Sebaliknya dia yang mengawal hawa nafsunya.

Melalui mujahadah, kita dapat melatih diri supaya;

  • Memastikan matlamat hidup dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
  • Membuang sikap malas, leka, lalai dan sebagainya .
  • Memberi perhatian kepada perkara-perkara utama dalam hidup.
  • Membuang sikap suka bertangguh.

Rasulullah s.a.w. pernah berpesan memperingatkan kita:
"Dua nikmat (kuniaan Allah) yang seringkali kebanyakan manusia tertipu (kerana mensia-siakannya) iaitulah; nikmat sihat dan nikmat kelapangan".

(Hadis riwayat Imam Bukhari, at-Tarmizi dan Ibnu Majah dari Ibnu Abbas r.a.)

Seorang tokoh sufi terkenal Ibnu Athaillah as-Sakandari dalam kitabnya yang masyhur iaitu al-Hikam mensifatkan tabiat suka bertangguh adalah tanda kebodohan yang ada pada diri seseorang. Ia berkata: "Menunda/menangguh amal perbuatan(kebaikan) kerana menantikan kesempatan yang lebih baik merupakan suatu tanda kebodohan yang mempengaruhi jiwa".

Seorang hukama Islam pernah menasihatkan kita;
"Janganlah kamu menangguh sampai besok apa yang dapat engkau kerjakan hari ini".


Imam Hasan al-Basri pernah berkata;
"Apabila terbit sahaja fajar pada hari baru, ia akan menyeru manusia; Wahai anak Adam! Aku adalah adalah makhluk yang baru. Aku akan menjadi saksi ke atas apa yang kamu lakukan. Gunakanlah aku untuk berbekal dengan beramal soleh. Sesungguhnya aku (apabila berlalu) tidak akan kembali lagi hinggalah menjelangnya kiamat"


Membahagikan waktu

Bahagikan masanya mengikut kewajipan yang ditanggung di bahunya. Seorang tokoh Islam abad ini, al-Imam asy-Syahid Hasan al Banna berkata :

"Kita diperintahkan supaya mengguna dan membahagikan masa bagi empat tujuan ;

1. Untuk agama iaitu melakukan ketaatan kepada Allah merangkumi yang wajib/fardhu dan yang sunat-sunat.

2. Untuk mencari rezki yang halal bagi menyara diri dan keluarga.

"Siapa yang berpetang dalam keadaan penat kerana bekerja/berusaha dengan tangan sendiri maka ia berpetang dalam keadaan dikurniakan keampunan baginya"

(Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu Abbas r.a.)

3. Untuk berkhidmat kepada manusia dengan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah bagi mereka.

Sabda Nabi s.a.w;
"Sesiapa yang berjalan (untuk keluar) memenuhi hajat saudaranya ia seolah-olah beriktikaf di masjidku ini (iaitu masjid Nabawi) selama sebulan".


4.Untuk kerehatan badan.

Sabda Nabi s.a.w; "Sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu".

Syeikh Tantawi al-Jauhari berpesan;
"Apabila munculnya siang maka buatlah penyusunan terhadap kerja-kerja-yang akan kamu lakukan pada hari itu mengikut masanya dan jangan melakukan sesuatu kerja bukan pada masanya. Ikutilah perancangan kamu yang awal dan jadikan riadhah/bermain pada masanya yang khusus. Ambillah contoh daripada Nabi kita di mana baginda membahagikan masanya kepada beberapa bahagian;
-Satu bahagian untuk ibadah
-Satu bahagian untuk manusia iaitu mengajar mereka...
-Satu bahagian untuk diri baginda sendiri.....

No comments: