Temuduga
Kerja : Apa Kunci Kejayaannya ?
Oleh
Zaharuddin
Abd Rahman
Menurut
statistik undian yang dikumpulkan di web ini. Kelihatan
jelas bahawa pelawat web zaharuddin.net kebanyakannya adalah golongan muda
berumur 22- 30 tahun, lelaki dan wanita.
Pada
hemat saya, adalah amat baik jika saya memberikan sedikit manfaat berkenaan
kemahiran temuduga buat pengunjung terutamanya bagi mereka yang masih dan
sedang bergelumang dengan dunia mencari pekerjaan dan temuduga.
Berdasarkan
puluhan sesi mengendalikan temuduga semasa bertugas di industri korporat dan
juga beberapa pengalaman rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, saya terlibat
sebagai panel untuk menemuduga calon-calon yang punyai keputusan cemerlang
seperti CGPA 3.5 ke atas, 'Mumtaz', 'First Class', 'Distinction' dan
sebahagiannya mempunyai Ijazah Sarjana.
Malangnya,
banyak kali saya dan rakan-rakan di sektor swasta dapati individu yang
mempunyai kelayakan akademik cemerlang di Universiti tetapi ianya tidak banyak
membantu calon semasa temuduga.
Saya
bimbang degan fenomena kegagalan sistem peperiksaan di Universiti yang gagal
melahirkan seorang yang kreatif, beryakinan serta berbakat. Selain dari pengalaman
saya sendiri dan juga apa yang kerap saya dengari dari rakan-rakan, ada graduan
cemerlang yang seperti 'batu' semasa interview dan ada juga yang langsung tidak
mampu menjawab soalan panel yang berbentuk ujian emosi dan kreativiti menjawab.
Mungkin kerana soalan itu tiada dalam silibus buku mereka agaknya.
Saya
bimbang, munculnya graduan yang cemerlang atas kertas kerana kecekapannya
menghafal silibus sahaja. Akhirnya, sekali dicuba di alam realiti, tersungkur
jatuh dengan sekali cubaan sahaja. Kerana itu, bagi saya soalan peperiksaan
perlu diolah dalam bentuk yang lebih praktical dan mementingkan kefahaman
berbanding hafalan semata-mata.
Tidak
dinafikan kita inginkan pelajar menghafal, tetapi adalah hafalan berserta
kefahaman sehingga bila dibawakan satu soalan dan situasi mencabar, ia mampu
menjawab dan mengadaptasikan formula hafalannya dalam konteks semasa. Mampu
memperkembangkannya dan bukannya hafalan kosong.
Jika
anda bagaimana seorang tukang masak biasa menjadi Chef yang hebat. Jawabnya,
adalah dengan mempelajari dan menghafal resipi asal dari seorang guru, kemudian
mencuba dan mempelbagaikan ramuan sendiri. Akhirnya lahirlah resipinya sendiri
dan rasa tersendiri. Resipi asal hanya menjadi titik mula untuk menjadi
kreatif. Itulah nilai tambah yang dikehendaki dalam proses menuntut ilmu. Iaitu
memperkembangkan ilmu.
Mungkin
kerana itu, pendedahan berpersatuan dan berprogram di universiti amat penting
dalam pembentukan graduan yang cekap dan kreatif dalam menangani masalah dan
soalan-soalan panel temuduga.
Melalui
tulisan ringkas ini, saya akan cuba
mencoretkan beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh
seseorang calon temuduga. Sudah pasti bukan semua aspek sempat untuk saya
coretkan, terutamanya saya bukanlah seorang pakar bab pengurusan dan temuduga.
Namun masih boleh berkongsi pengalaman.
Secara
ikhlas, terdapat beberapa kelemahan nyata bagi kebanyakan calon-calon,
kelemahan tersebut juga berulang-berulang.
Soalan
Biasa
Tidak
kiralah samada interview di dalam Bahasa Inggeris, Melayu atau Arab, soalan
awal adalah :-
"Please
introduce yourself" atau "Sila perkenalkan diri anda"
Ini
adalah ayat biasa yang digunakan oleh panel untuk memulakan sesi temuduga.
Jawapan
calon bagaimana?
"Saya
berasal dari kampung sekian, sekian..adik beradik 11 orang, saya anak yang
sulong, ibu bapa saya bekerja itu dan ini"
"saya
sekolah tadika di..., "
"Saya
sudah berkahwin dah punyai ....anak"
Bagi
saya, jika calon menjawab seperti jawapan di atas, ia adalah suatu kekurangan
pada minda calon dan 'disadvantages' buat calon tersebut.
Ini
kerana calon sepatutnya memfokuskan pengenalan diri dalam hal yang berkaitan
dengan kerjaya yang diminta sahaja.
Cukup
memfokuskan kepada bahagian berikut :-
1)
Kelulusan & Pendidikan formal: Pendidikan Sekolah Menengah dan Universiti
sahaja serta kaitan apa-apa subjek yang diambil dengan kerja yang dipohon.
2)
Tempat bertugas sekarang (jika bekerja, jika tidak sebutkan pengalaman di
Universiti seperti Exco persatuan dan lain-lain)
3)
Pengalaman dan kemahiran yang ada dan kaitannya dengan tugas yang dipohon.
Saya
kira, tiga point tadi sudah cukup, tidak perlu menghuraikan silsilah keluarga,
nama emak, nama atuk, kahwin, anak, kampung dan lain-lain. Ia hanya menunjukkan
ketidakmatangan calon.
Panel
biasanya menyoal soalan ini untuk menilai tahap fokus calon dalam menjawab
soalan dan kaitannya dengan kerja yang diminta. Bukan untuk berkenalan dengan
calon.
Tahap
Satu
Selapas
soalan pertama, panel biasanyaakan cuba memperkembangkan soalan dari
jawapan pertama calon, terutamanya dalam soal :-
1)
Panel akan melihat keputusan peperiksaan dan subjek yang diambil calon di
Universiti dan akan mengutarakan soalan berkenaannya. Justeru, calon mestilah cuba ulangkaji
terlebih dahulu sedikit isi penting subjek yang berkaitan dengan tugasan yang
diminta.
Sebagai
contoh : Jika seseorang calon memohon jawatan Syariah Executive di sebuah
Islamic Bank.
Sudah
tentu panel akan cuba
menguji ilmu dan kefahaman subjek Fiqh Muamalat yang diambil calon ketika di
universiti. Demikian juga subjek Qawaid Fiqh dan lain-lain yang berkaitan.
2)
Tugas yang calon lakukan sekarang (sekiranya ia sedang bertugas) dan kaitan
yang boleh menyokong kerjayanya sekarang.
Tatkala
itu, calon mestilah bersedia dengan segala point yang dapat mengaitkan kerjaya
yang dipohon. Walaupun ia dari dua displin yang berbeza.
Sebagai
contoh, calon seorang siswazah masih bertugas sebagai cashier di sebuah
pasaraya (kerja sementara menunggu yang sesuai dengan kelulusannya), dan
sekarang calon memohon tugas sebagai Eksekutif Akaun di sebuah syarikat swasta.
Maka
calon mestilah berupaya mengaitkan faedah kerjayanya sebagai cashier dengan
tugasan yang dipohon. Calon mestilah kreatif berfikir dan mengaitkannya, paling
kurang pun sekurang-kurangnya sebutlah bahawa dengan kerjaya sebagai juruwang
itu, anda sudah terdedah dengan suasana pekerjaan, membuat laporan, menerima
arahan supervisor dan lain-lain"
Bagi
saya, kemampuan calon untuk mengaitkannya dikira sebagai satu merit baik buat
calon.
3)
Mengapa memohon kerja ini sedangkan anda sudah bekerja sekarang.
Ini
soalan yang amat biasa bagi semua jawatan. Setiap alasan anda adalah amat
penting untuk panel menilai pemikiran anda dan perancangan kerjaya anda.
Kematangan dalam jawapan pastinya banyak membantu,
Kenalan
saya pernah memberitahu bahawa banyak calon bumiputra gagal memberikan jawapan
yang baik dalam soalan ini. Malah hingga ada yang mengatakan :
"Tak
pelah, jika tak dapat jawatan ni pun saya tak la kisah sangat pun
sebenarnya"
Kata
sebegini adalah satu kesilapan besar.
4)
Mengapa kerap menukar kerja?
Soalan
ini amat relevan dan penting bagi panel iaitu dalam situasi anda pernah bekerja
di pelbagai syarikat dan organisasi sebelum ini, atau kata lainnya,
'melompat-lompat'.
Mereka
pasti akan bertanya sebab-musabab banyak melompat, malah sebahagian Managing
Director dalam sektor 'Oil & Gas' pernah berkata kepada saya :
"Semua
calon yang dilihat banyak melompat dari syarikat ke syarikat dalam tempoh
kurang setahun atau dua tahun, awal-awal kami dah reject"
Lihat,
malah dalam kebanyakan sektor swasta mereka akan menilai tahap kesetiaan anda
dengan satu syarikat. Mereka tidak mahu anda melakukan demikian kepada syarikat
mereka nanti. Jawapan konkrit perlu anda sediakan.
Tanpa
jawatan konkrit, kebanyakan majikan akan menggangap individu yang kerap
melompat sebagai :-
1)
Tidak setia kepada satu-satu organsasi.
2)
Gila pangkat.
3)
Jenis bermasalah dan pastinya masalah di tempat lama.
4)
Pengejar kenaikan gaji secara rakus. Iaitu dengan cara melompat-lompat.
5)
Kurang kemahiran khusus dalam satu bidang kerana asyik melompat.
6)
Kurang kemahiran interpersonel.
Tahap
Kedua
Tahap
seterusnya, panel biasanya akan mula menguji sekaligus :-
1)
Tahap kemahiran ilmu dalam bidang kerja yang dipohon.
2)
Cara penyampaian jawapan termasuk cara pandangan mata, cara tangan semasa
bercakap
3)
Tahap keyakinan semasa menjawab soalan.
4)
Tahap kedinamikan calon semasa menjawab.
5)
Minat calon dalam kerjaya yang dipohon.
Ini
adalah antara fokus utama seorang panel. Namun, jika jawatan yang dipohon
adalah sebagai eksekutif sahaja. Biasanya panel akan bersifat lebih toleransi
kerana jawatan eksekutif adalah satu jawatan yang masih dikira kecil di dalam
sebuah organisasi dan syarikat. Justeru, tahap ilmu dan kemahiran tidaklah
menuntut satu tahap yang tinggi.
Bagaimanapun,
sesiapa yang mampu menunjukkan tahap kemahiran dan ilmu dengan cemerlang sudah
tentu lebih baik.
Bagaimanapun
point 2,3,4 dan 5 masih amat penting buat calon, walaupun hanya bagi jawatan
eksekutif.
Banyak
kekurangan dikenalpasti di kalangan graduan kita dalam hal ini. Antaranya :-
a-
Tidak yakin dengan jawapan. Ada
dua jenis soalan dalam temuduga, yang pertama soalan fakta dan yang kedua
soalan bukan fakta.
Bagi
soalan yang memerlukan fakta tepat, jika calon tidak mampu menjawab, mereka
masih perlu menunjukkan keupayaan untuk merujuk kepada sumber-sumber tertentu.
Bagi
soalan yang memerlukan pandangan bebas bukan fakta; keyakinan amat penting.
Keyakinan itu perlu dizahirkan melalui cara dan intonasi bercakap, memek muka
dan sedikit pergerakan tangan.
Ini
tidak, bila ada yang tidak boleh jawab soalan fakta, mulalah terganggu
pemikirannya sehingga semua jawapan selepas itu tidak yakin. Apatah lagi jika
diprovokasi oleh panel seperti katanya,
"Anda
sebenarnya tidak layak dan belum bersedia untuk jawatan ini"
b-
Tidak menunjukkan bakat dan kemampuan untuk menyumbang. Ini adalah aspek
penting dalam sebuah temuduga, calon mesti menunjukkan minat untuk menyumbang
dan mempelajari jika diterima sebagai eksekutif, tunjukkan minat dan
keghairahan untuk belajar, dan bukannya sekadar "InshaAllah" dengan
lemah longlai serta ayat-ayat yang tidak bermotivasi.
Kebanyakkan
panel temuduga ingin melihat bakat calon untuk diperkembangkan kelak. Mereka
tidaklah mengharapkan anda sehebat orang yang punyai pengalaman 10 tahun. Apa
yang diharapkan adalah kesediaan dan pembuktian bahawa anda adalah seorang
calon yang berbakat.
c-
Merendah diri. Benar, merendah diri adalah satu sifat yang terpuji dalam Islam
tetapi semasa temuduga calon perlu menunjukkan dan menaikkan kebolehan diri.
Bukan meninggi diri dalam bentuk melampau dan 'over' tetapi cukup sekadar
menunjukkan kedinamikan diri dan kelayakan anda untuk jawatanyang dipohon.
d-
Tidak Relaks & Kelihatan Tertekan. Calon perlu relaks dan kelihatan selesa
semasa temuduga. Tenangkan diri dan jangan rasakan anda dalam sebuah
temuduga. Ia mudah menganggu debaran hati dan jantung anda. Bayangkan
anda sedang berbincang dengan guru sahaja.
Bagi
sektor swasta, kemampuan calon menunjukkan ketenangannya dan relaksnya dalam
temuduga mampu memberi kredit kepada calon. Ia membuktikan calon adalah orang
yang boleh menanggung beban dan stress kerja swasta yang biasanya sibuk dan
tertekan.
Tahap
akhir
Sebagai
ringkasan dalam tulisan ini, panel akan melihat kepada gaji semasa anda, dan
gaji yang dipohon.
Ini
sebenarnya adalah satu proses ujian kematangan yang hebat. Calon mesti
berhati-hati agar tidak dihentam dan ditertawakan.
Justeru,
'expected salary' mestilah melihat kepada 'salary scale' di dalam pasaran dan
gaji calon sekarang.
Untuk
itu, calon mesti membuat kajian tahap gaji seorang eksekutif di bidang
perbankan sebagai contoh. Atau sector pendidikan dan lain-lain. Jangan membuka
kelemahan diri dengan memohon gaji seorang pengurus atau gaji seorang pekerja
kilang sahaja.
Jangan
letak terlalu tinggi dan jangan tersilap minta terlalu rendah berbanding
kelulusan anda.
Jika
anda seorang yang cemerlang dan punyai sarjana yang specifik dalam jawatan dan
bidang tugas yang dipohon, lihat pula sektor apa, jika dalam sektor perbankan
Islam sebagai contoh, jangan letak kurang dari RM 3000 sebulan.
Jika
calon meletakkan bawah dari RM 3000 dengan kreteria yang disebut di atas, ia
menunjukkan calon kurang mengkaji dan kurang matang dalam sektor pekerjaan.
Jika
calon punyai pengalaman 2 tahun, jangan pula letak gaji dipohon sebanyak RM
6000. Sudah tentu akan ditertawakan oleh panel, jika tidak di hadapan calon,
dibelakang sudah tentu agaknya.
Sebenarnya
banyak aspek yang perlu dilihat dalam meletakkan gaji yang dijangka. Termasuk
aspek :-
1)
Saiz Syarikat : Syarikat besar atau kecil, tempatan atau antarabangsa. Semuanya
punyai 'scale' yang berbeza.
2)
Jenis sektor : Kejuruteraan, Perbankan dan Kewangan, Pendidikan, Konsultan dan
lain-lain. Ini juga banyak berbeza.
3)
Jenis Kemahiran : jenis kemahiran khas atau biasa. Kemahiran yang mudah
dijumpai di pasaran adalah lebih murah dan yang sukar. Sebagai contoh ; calon
yang punyai kemahiran Fiqh Mualamat dan Perbankan Islam amat sukar ditemui
dalam pasaran, hasilnya calon yang punyai pengalaman boleh meletakkan
permohonan sedikit tinggi.
4)
Jenis Jawatan : Ia amat banyak mempengaruhi gaji jangkaan. Termasuklah nama
jawatan, iaitu eksekutif, Eksekutif Kanan, Pengurus, Pengurus Kanan dan
lain-lain. Juga dari aspek, jawatan tetap, kontrak atau separuh masa. Semua
mempunyai scale masing-masing.
Justeru,
calon perlu merujuk kepada mereka yag berpengalaman untuk menentukan gaji
jangkaan. Jangkaan yang tepat pula pastinya akan ditanya oleh panel,
"Mengapa
anda layak dengan gaji sebanyak ini?"
Jawapan
perlu disediakan dari awal. Elok juga disebutkan kepada panel bahawa ia terbuka
untuk perbincangan. Tatkala itu, panel akan bertanya lagi;
"Berapa
minimum yang anda boleh agaknya?"
Sekali
lagi anda perlu menyiapkan jawapan dari awal.
Oleh
kerana biasanya soalan ini di akhir temuduga, calon juga boleh menilai serba
siedikit prestasinya dan respon panel temuduga dalam meletakkan aras minimum
gaji yang dijangka. Jika panel kelihatan menyukai anda dan anda juga kelihatan
'performed' dalam temuduga, bolehlah anda nilaikan gaji minimum yang sedikit
tinggi. Demikian sebaliknya.
Soalan
Penutup
Biasanya,
soalan penutup panel temuduga adalah:
"Do
you have any question?" atau " Saudara/i ada apa-apa soalan?"
Kebanyakan
calon akan mengatakan ‘Tiada soalan"
Bagi
saya, ia sekali lagi satu tindakan yang kurang tepat.
Panel
sebenarnya ingin menilai minda anda terhadap kerja yang dipinta. Justeru lebih
baik anda bertanya, pastikan pertanyaan adalah standard dan menunjukkan anda
seorang yang berpandangan jauh. Seperti tanya berkenaan masa depan syarikat,
peluang karier bersama syarikat, tahap kestabilan syarikat dan lain-lain.
Bagaimanapun, jika calon terlalu tidak 'performed' di peringkat awal temuduga,
soalan-soalan besar ini mungkin tidak perlu kerana akan membosankan
panel.
Demikianlah,
beberapa nasihat dan pandangan ringkas saya buat bejkalan rakan-rkaan pengjung http://www.zaharuddin.net/ yang
majoritinya beumur 22- 35 tahun. Sudah tentu proses temuduga akan berterusan
dalam usia ini. Harapan saya, ia mampu membantu serba sedikit persiapan karier
anda agar lebih berjaya.
Nabi
Muhammad s.a.w bersabda :-
إن الله عز وجل يحب إذا عمل
أحدكم عملا أن يتقنه
Ertinya
: Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai seseorang kamu apabila ia melakukan sesuatu
kerja, ia sentiasa memperkemas dan menekuninya" (Riwayat At-Tabrani,
terdapat komentar terhadap seorang perawinya iaitu Mus'ab bin Thabit, Ibn
Hibban men ‘thiqahi'nya , dan majority melemahkannya)
Menurut
sebuah hadis sohih pula :-
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ
الْإِحْسَانَ على كل شَيْءٍ فإذا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وإذا
ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أحدكم شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ
ذَبِيحَتَهُ
Ertinya
: "Sesungguhnya Allah s.w.t telah mewajibkan al-ihsan (professional,
ketekunan dan ketepatan) dalam semua kerja, maka apabila kamu ingin berburu
maka perkemaskan perburuanmu, apabila kamu ingin menyembelih maka perelokkanlah
cara pemyembelihanmu, hendaklah ditajamkan alat sembelihanmu agar dapat
merehatkan binatang yang disembelih" ( Riwayat Muslim, 3/1548 )
Kedua-dua
hadis ini menganjurkan kecekapan dan professionalism dalam kerja. Tingkatkan
ilmu dan kemahiran bermula dari proses temuduga. Moga Allah bersama kita
sentiasa.
Sekian
Zaharuddin
Abd Rahman
7
November 2007
26
Syawwal 1428 H
No comments:
Post a Comment