Saturday, October 29, 2011

Peristiwa di sebalik tangisan dan tertawa Saidini Umar al-Khatab r.a

Kita tentu tidak asing dengan Umar bin Khatab salah seorang dari empat khalifah ternama masa sepeninggalan Rasulullah SAW.

Saidina Umar r.a terkenal dengan ketegasan dan kelembutan hatinya. Malah Rasulullah SAW bersabda, “Seandainya ada nabi sesudahku maka ia adalah Umar bin Khatab”. (H.R Tirmidzi dan Ahmad)

Dikisahkan pernah suatu ketika Rasulullah SAW mendapati Umar bin Khatab sedang menangis kemudian tertawa hampir bersamaan. Ketika ditanya apa sebabnya yang menyebabkannya demikian. Saidina Umar bin Khatab menjelaskan bahawa ia teringat keadaan dirinya di masa jahiliyah dulu. 

Kenapa dia menangis? Dia teringat ketika masa jahiliyah, dia menanam anak perempuannya hidup-hidup. Terbayang olehnya sekiranya anak perempuannya masih hidup, dia akan boleh bersama mereka. Dan akan mendapatkan cucu yang banyak dari mereka.

Lantas yang membuatnya tertawa adalah ketika di masa jahiliyah dia terbiasa membuat patung-patung berhala. Kadang-kadang dia membuatnya dari gandum dan manisan. Akan tetapi ketika ia dilanda lapar atau musim panas kontang. Maka dia terpaksa mengambil bahagian-bahagian patung berhala tersebut kemudian memakannya. Mendengar hal tersebut Rasulullah SAW pun turut tertawa.

Dari kisah ini kita boleh mengambil pengajaran yang sangat berharga. Masa jahiliyah dikenali juga dengan masa kegelapan atau kebodohan, akal dan hati nurani tidak berfungsi sebagaimana patutnya. Sebut saja dua peristiwa yang membuatkan Saidini Umar bin Khatab r.a menangis dan tertawa ketika mengingatnya.

Pada masa jahiliyah perempuan tidak mempunyai harga sama sekali. Malah mempunyai anak perempuan adalah aib yang besar. Kerana dianggap tidak berguna, tidak boleh berperang dan tidak boleh mewariskan kejayaan serta kemuliaan. Malah perempuan dianggap sesuatu yang boleh diwariskan. Tidak ubahnya seperti barang atau benda mati sahaja. Menanam anak perempuan hidup-hidup adalah tabiat orang dengan akal jahiliyah yang tidak mempunya hati nurani. Sedangkan membuat tuhan yang boleh dibuat dan dimakan malah boleh dihancurkan sama halnya dengan kebodohan yang tidak ada hujung pangkalnya.

Setelah Saidinia Umar bin Khatab r.a memeluk Islam dan menjadi sahabat Rasulullah SAW, dia menyedari akan kebodohan tersebut.

Segala puji bagi Allah SWT, Dzat Yang Maha Esa lagi Maha Agung. Dengan syariat-Nya yang dibawa melalui Nabi Muhammad SAW, telah mengeluarkan umat manusia dari kebodohan dan kejahilan.

No comments: