Thursday, July 2, 2009

Nilai Ucapan Terima Kasih



Kebiasaannya kita mengucapkan perkataan terima kasih sambil lewa sahaja. Jarang kita mengambil perhatian tentang perkataan terima kasih itu, walaupun pada hakikatnya ia amat mudah untuk disebut. Kita menganggap ia tidak penting, serta sering tidak kisah untuk mengucapkannya.

Namun tahukah bahawa di sebalik ucapan terima kasih mempunyai maksud yang begitu mendalam dan kesan yang begitu besar kepada si penerima? Ia juga tidak susah untuk diamalkan; kita boleh mengucapkannya bila-bila masa dan di mana saja. Tidak perlu menunggu majlis yang rasmi dengan ucapan yang panjang lebar baru kita hendak mengucapkan terima kasih kepada semua. Pada masa itu sudah terlewat untuk menghargai orang di sekeliling kita.



Di pejabat, ucapkan terima kasih kepada pekerja yang membersih dan mengemaskan tempat kerja kita, kepada rakan yang membantu membawakan surat atau membelikan kuih di kantin. Bagi ketua pejabat pula jangan lupa mengucapkan terima kasih kepada pembantu yang mencarikan fail atau membancuhkan secawan kopi/teh.

Jangan sangka sebagai ketua tidak perlu mengucapkan terima kasih. Seorang ketua akan hanya dihormati apabila pandai menghargai orang di bawahnya. Barulah dia akan menjadi contoh teladan yang baik bagi anak buahnya. Dengan mengucapkan terima kasih kepada orang bawahan, secara tidak langsung seorang ketua akan memberi semangat kepada pekerjanya untuk meningkatkan prestasi di tempat kerja.

Kita juga harus mengucapkan terima kasih semasa memandu di jalanraya. Angkat tangan tanda ucapan terima kasih apabila kereta lain memberi laluan di jalan yang sempit. Angkat tangan juga jika kita telah membuat kesilapan semasa memandu, ia sebagai isyarat kita berterima kasih kepada pemandu lain kerana bersabar. Dengan cara itu, mereka tidak akan jadi memarahi kita.



Ucapan terima kasih juga penting diamalkan dalam sesebuah keluarga. Kebanyakan dari kita hanya ingat untuk mengucapkan terima kasih sesama rakan tetapi apabila bersama keluarga langsung tidak pandai untuk menghargai ahli keluarga. Ini selalunya berlaku kepada ketua keluarga iaitu si bapa. Pada fikirannya dia merupakan ketua di dalam rumah, mengapa pula dia harus ucapkan terima kasih kepada anggota keluarganya sendiri?

Di sinilah letaknya kesilapan seorang bapa. Walaupun beliau merupakan ketua keluarga, namun dia masih memerlukan khidmat ahli keluarganya. Contoh yang paling mudah, si bapa sedang duduk di ruang tamu lalu hendak membaca surat khabar yang berada di dalam bilik tidur; namun berasa letih untuk mengambilnya. Dia akan menyuruh anaknya untuk mengambilkan untuknya.

Apabila anaknya telah mengambilkan surat khabar tersebut, dia patut mengucapkan terima kasih, walaupun itu adalah anaknya sendiri. Seharusnya dia sedar tanpa pertolongan anaknya, dia tidak akan dapat membaca surat khabar itu. Oleh itu dia hendaklah menghargai khidmat anaknya dan jangan bersikap sombong dengan berangapan sebagai ketua dia tidak perlu berterima kasih kepada keluarganya.



Keluarga yang sentiasa mengamalkan ucapan terima kasih sesama mereka akan membawa nilai tersebut apabila mereka bergaul dalam masyarakat. Ucapan terima kasih akan memberi kebahagiaan dan keceriaan kepada si penerima. Ia mempunyai kuasa untuk merapatkan lagi tali silaturrahim sesama manusia apabila jasa dan khidmat dihargai dan diiktiraf.

Agama Islam juga sentiasa menyeru kita untuk berbuat baik sesama sendiri dan tentunya ucapan terima kasih adalah salah satu daripada caranya. Kita digalakkan menanam sikap dan nilai-nilai murni seperti ini. Di antara seorang suami dan isteri juga perlu sentiasa mengamalkannya. Apabila seorang isteri sanggup berhenti kerja untuk menjaga sendiri anak-anaknya, maka si suami patut mengucapkan terima kasih kepada isterinya kerana sanggup berkorban melepaskan pekerjaaanya.

Jangan menganggap perkara itu biasa sahaja. Isteri telah melakukan pengorbanan yang sangat besar dan tidak ramai yang sanggup melakukannya, seharusnya ia dihargai. Juga apabila seorang isteri telah memasak untuk keluarganya, suami patut mengucapkan terima kasih kepada isteri kerana telah berpenat lelah memasak. Jangan pula dikeji jika masakan itu tidak sedap atau tidak rasa garam dan sebagainya. Sebaliknya beri galakan kepada isteri untuk belajar memasak dengan mengikuti kursus masakan agar lebih mahir lagi.




Sesuatu yang menarik di negara barat mereka amat menitik beratkan perkataan terima kasih ini. Seorang pembentang kertas kerja di sebuah seminar di Kuala Lumpur telah menceritakan pengalaman beliau semasa menyambung pelajaran di sebuah negara barat. Beliau telah memesan makanan di kedai makan dan setelah menerima pesanannya, telah terlupa untuk mengucapkan terima kasih lalu ditegur oleh pekerja di situ. Bagi kita di sini perkara itu mungkin remeh sahaja.

Dia juga menceritakan keadaan di sana tidak kira samada semasa menaiki bas, di pasaraya, di kelas, ucapan terima kasih tidak pernah lekang dari mulut mereka. Ia telah menjadi suatu budaya untuk mereka sentiasa bertanya khabar dan mengucapkan terima kasih. Perkara yang baik dari negara barat tidak salah untuk kita ikuti dan amalkan.



Bagi para usahawan pula amalkan selalu untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan. Apabila memulangkan wang baki contohnya, ucapkanlah terima kasih. Kadang-kadang pelanggan memang menunggu ucapan tersebut dan akan hampa jika tidak mendengarnya. Sikap seseorang usahawan itu amatlah penting. Jika dia memberikan layanan yang memuaskan pastinya pelanggan tidak akan teragak-agak ke tempatnya lagi. Usahawan yang pandai berbudi bahasa, menghormati, tidak lokek dengan senyuman, sering mengucapkan terima kasih kepada pelanggan selalunya akan murah rezeki berbanding dengan mereka yang tidak pandai menghargai pelanggan.


Mastura bt Mohd Zain
Pegawai Penyelidik
IKIM

No comments: