Wednesday, July 29, 2009

8 Keinginan Manusia

1. Kesihatan dan kelangsungan Hidup
2. Makanan
3. Tidur
4. Wang & barang-barang yang boleh dibeli dengan wang
5. Kehidupan setelah mati
6. Kepuasan seks
7. Kesejahteraan anak-anak
8. Perasaan dianggap penting

Episod 2 - HOW TO WIN FRIENDS AND INFLUENCE PEOPLE



8 KEINGINAN MANUSIA

1. Kesihatan dan kelangsungan Hidup
2. Makanan
3. Tidur
4. Wang & barang-barang yang boleh dibeli dengan wang
5. Kehidupan setelah mati
6. Kepuasan seks
7. Kesejahteraan anak-anak
8. Perasaan dianggap penting


PRINSIP-PRINSIP ASAS MENGHADAPI SESEORANG

1. Jangan mengkritik, menghukum atau merungut
2. Berikan penghargaan yang ikhlas dan murni
3. Bangkitkan keinginan yang membara dalam diri orang lain

HOW TO WIN FRIENDS AND INFLUENCE PEOPLE




8 POSITIF

1. Bebaskan pemikiran daripada masalah mental, bentuk cara pemikiran yang baru, peroleh sudut pandangan baru dan temukan cita-cita baru.
2. Jalinkan persahabatan dengan cepat dan mudah.
3. Tingkatkan populariti.
4. Pengaruhi seseorang untuk mengikut arah pemikiran kita.
5. Pertingkatkan pengaruh, prestij dan kebolehan diri dalam melaksanakan sesuatu.
6. Layani sesuatu aduan dengan baik, elak perbalahan, pelihara supaya perhubungan kemanusiaan berjalan lancar dan menyenangkan.
7. Jadi perucap yang baik dan pembicara yang menyenangkan.
8. Naikkan semangat di kalangan rakan.

Sunday, July 19, 2009

Amalan Murah Rezeki

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah. Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar. Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi. Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim. Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)


12. Melazimi kekal berwuduk. Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimi solat Dhuha. Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah. Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)


Kesemua yang disebut adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Bagi orang Islam, murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah melaksanakan amalan-amalan takwa. Ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Saturday, July 18, 2009

Seruan Kubur




Setiap hari kubur menyeru manusia sebanyak 5 Kali :-

1. Aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran.

2. Aku rumah yang gelap, maka terangilah aku dengan selalu solat malam.

3. Aku rumah penuh dengan tanah dan debu, bawalah amal soleh yang menjadi hamparan.

4. Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar.

5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir, maka banyakkanlah bacaan "Laa ilahaillallah, MuhammadarRasulullah", supaya kamu mendapat jawapan kepadanya.

Thursday, July 2, 2009

Nilai Ucapan Terima Kasih



Kebiasaannya kita mengucapkan perkataan terima kasih sambil lewa sahaja. Jarang kita mengambil perhatian tentang perkataan terima kasih itu, walaupun pada hakikatnya ia amat mudah untuk disebut. Kita menganggap ia tidak penting, serta sering tidak kisah untuk mengucapkannya.

Namun tahukah bahawa di sebalik ucapan terima kasih mempunyai maksud yang begitu mendalam dan kesan yang begitu besar kepada si penerima? Ia juga tidak susah untuk diamalkan; kita boleh mengucapkannya bila-bila masa dan di mana saja. Tidak perlu menunggu majlis yang rasmi dengan ucapan yang panjang lebar baru kita hendak mengucapkan terima kasih kepada semua. Pada masa itu sudah terlewat untuk menghargai orang di sekeliling kita.



Di pejabat, ucapkan terima kasih kepada pekerja yang membersih dan mengemaskan tempat kerja kita, kepada rakan yang membantu membawakan surat atau membelikan kuih di kantin. Bagi ketua pejabat pula jangan lupa mengucapkan terima kasih kepada pembantu yang mencarikan fail atau membancuhkan secawan kopi/teh.

Jangan sangka sebagai ketua tidak perlu mengucapkan terima kasih. Seorang ketua akan hanya dihormati apabila pandai menghargai orang di bawahnya. Barulah dia akan menjadi contoh teladan yang baik bagi anak buahnya. Dengan mengucapkan terima kasih kepada orang bawahan, secara tidak langsung seorang ketua akan memberi semangat kepada pekerjanya untuk meningkatkan prestasi di tempat kerja.

Kita juga harus mengucapkan terima kasih semasa memandu di jalanraya. Angkat tangan tanda ucapan terima kasih apabila kereta lain memberi laluan di jalan yang sempit. Angkat tangan juga jika kita telah membuat kesilapan semasa memandu, ia sebagai isyarat kita berterima kasih kepada pemandu lain kerana bersabar. Dengan cara itu, mereka tidak akan jadi memarahi kita.



Ucapan terima kasih juga penting diamalkan dalam sesebuah keluarga. Kebanyakan dari kita hanya ingat untuk mengucapkan terima kasih sesama rakan tetapi apabila bersama keluarga langsung tidak pandai untuk menghargai ahli keluarga. Ini selalunya berlaku kepada ketua keluarga iaitu si bapa. Pada fikirannya dia merupakan ketua di dalam rumah, mengapa pula dia harus ucapkan terima kasih kepada anggota keluarganya sendiri?

Di sinilah letaknya kesilapan seorang bapa. Walaupun beliau merupakan ketua keluarga, namun dia masih memerlukan khidmat ahli keluarganya. Contoh yang paling mudah, si bapa sedang duduk di ruang tamu lalu hendak membaca surat khabar yang berada di dalam bilik tidur; namun berasa letih untuk mengambilnya. Dia akan menyuruh anaknya untuk mengambilkan untuknya.

Apabila anaknya telah mengambilkan surat khabar tersebut, dia patut mengucapkan terima kasih, walaupun itu adalah anaknya sendiri. Seharusnya dia sedar tanpa pertolongan anaknya, dia tidak akan dapat membaca surat khabar itu. Oleh itu dia hendaklah menghargai khidmat anaknya dan jangan bersikap sombong dengan berangapan sebagai ketua dia tidak perlu berterima kasih kepada keluarganya.



Keluarga yang sentiasa mengamalkan ucapan terima kasih sesama mereka akan membawa nilai tersebut apabila mereka bergaul dalam masyarakat. Ucapan terima kasih akan memberi kebahagiaan dan keceriaan kepada si penerima. Ia mempunyai kuasa untuk merapatkan lagi tali silaturrahim sesama manusia apabila jasa dan khidmat dihargai dan diiktiraf.

Agama Islam juga sentiasa menyeru kita untuk berbuat baik sesama sendiri dan tentunya ucapan terima kasih adalah salah satu daripada caranya. Kita digalakkan menanam sikap dan nilai-nilai murni seperti ini. Di antara seorang suami dan isteri juga perlu sentiasa mengamalkannya. Apabila seorang isteri sanggup berhenti kerja untuk menjaga sendiri anak-anaknya, maka si suami patut mengucapkan terima kasih kepada isterinya kerana sanggup berkorban melepaskan pekerjaaanya.

Jangan menganggap perkara itu biasa sahaja. Isteri telah melakukan pengorbanan yang sangat besar dan tidak ramai yang sanggup melakukannya, seharusnya ia dihargai. Juga apabila seorang isteri telah memasak untuk keluarganya, suami patut mengucapkan terima kasih kepada isteri kerana telah berpenat lelah memasak. Jangan pula dikeji jika masakan itu tidak sedap atau tidak rasa garam dan sebagainya. Sebaliknya beri galakan kepada isteri untuk belajar memasak dengan mengikuti kursus masakan agar lebih mahir lagi.




Sesuatu yang menarik di negara barat mereka amat menitik beratkan perkataan terima kasih ini. Seorang pembentang kertas kerja di sebuah seminar di Kuala Lumpur telah menceritakan pengalaman beliau semasa menyambung pelajaran di sebuah negara barat. Beliau telah memesan makanan di kedai makan dan setelah menerima pesanannya, telah terlupa untuk mengucapkan terima kasih lalu ditegur oleh pekerja di situ. Bagi kita di sini perkara itu mungkin remeh sahaja.

Dia juga menceritakan keadaan di sana tidak kira samada semasa menaiki bas, di pasaraya, di kelas, ucapan terima kasih tidak pernah lekang dari mulut mereka. Ia telah menjadi suatu budaya untuk mereka sentiasa bertanya khabar dan mengucapkan terima kasih. Perkara yang baik dari negara barat tidak salah untuk kita ikuti dan amalkan.



Bagi para usahawan pula amalkan selalu untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan. Apabila memulangkan wang baki contohnya, ucapkanlah terima kasih. Kadang-kadang pelanggan memang menunggu ucapan tersebut dan akan hampa jika tidak mendengarnya. Sikap seseorang usahawan itu amatlah penting. Jika dia memberikan layanan yang memuaskan pastinya pelanggan tidak akan teragak-agak ke tempatnya lagi. Usahawan yang pandai berbudi bahasa, menghormati, tidak lokek dengan senyuman, sering mengucapkan terima kasih kepada pelanggan selalunya akan murah rezeki berbanding dengan mereka yang tidak pandai menghargai pelanggan.


Mastura bt Mohd Zain
Pegawai Penyelidik
IKIM